Chery Malaysia mengumumkan bahawa pusat 3S Chery Glenmarie kini secara rasmi telahpun dibuka. Fasiliti berkenaan dioperasikan oleh Joystar Auto Sdn Bhd, dan ia merupakan pengedar ke-52 Chery di Malaysia.
Fasiliti ini dibina dengan keluasan 3,090 meter persegi, terletak di Temasya Glenmarie, No 1 & 3, Jalan Perintis U1/52, Glenmarie Seksyen U1, Shah Alam.
Bilik pameran dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang untuk hari bekerja, manakala hujung minggu dan cuti umum pula dibuka bermula 10 pagi hingga 5 petang. Manakala untuk pusat servis yang mempunyai sembilan ruang servis, ia beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Sabtu, dan ditutup pada hari Ahad serta cuti umum.
“Glenmarie bukan sahaja terletak di tengah-tengah Selangor tetapi juga menempatkan beberapa jenama automotif yang terkenal. Sewajarnya Chery, dengan warisan inovasi dan teknologinya yang kaya, meneruskan perjalanannya ke sini, dalam kalangan elit industri,” kata Naib Presiden Chery Auto Malaysia Michael Chew.
Beliau turut menambah bahawa kemasukan Joystar Auto sebagai pengedar Chery di bahagian tengah Semenanjung Malaysia melambangkan komitmen Chery untuk menegembangkan lagi penampilannya di Malaysia.
“Kami berdedikasi untuk memberikan pengalaman pelanggan bertaraf dunia kepada setiap pemilik kenderaan Chery. Dengan memanfaatkan ketersambungan luar biasa rantau ini, kami menyasarkan untuk mencapai spektrum pelanggan yang lebih luas. Dari peminat kereta yang ghairah kepada keluarga dan profesional yang mencari kenderaan yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi, strategi pertumbuhan kami dibina atas keterangkuman dan kecemerlangan,” kata Chew lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.